Berita Utama

Wanita hina Islam mengaku tak bersalah, ikat jamin RM20,000

Syarat tambahan tertuduh perlu lapor diri di balai polis sebulan sekali

KUALA LUMPUR, 13 Zulhijjah 1443H, Rabu – Wanita yang mencetuskan kontroversi kerana membuka tudung dan menanggalkan baju kurung ketika membuat persembahan di sebuah kelab, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni di kalangan orang Islam.

Siti Nuramira Abdullah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengaku seorang muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Crack House Comedy Club, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Brickfields, jam 6 petang, pada 4 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

“Namun, sekiranya mahkamah ingin menawarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan RM50,000 berserta syarat tambahan seperti melapor diri di balai polis berdekatan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang memuat naik sebarang kenyataan di media sosial sepanjang perjalanan kes ini,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Bagaimanapun peguam R Sivaraj dan Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Siti Nuramira memohon mahkamah memberikan ikat jamin rendah kerana tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang memuat naik di media sosial berhubung prosiding kes ini.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/07/11/teman-lelaki-wanita-hina-islam-ditahan/
https://ismaweb.net/2022/07/10/wanita-hina-islam-direman-3-hari/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button