Berita Utama

Data taksiran kerugian mangsa banjir di Baling siap bulan ini

Ini bagi bolehkan pihak berwajib agih bantuan wang ihsan

BALING, 13 Zulhijjah 1443H, Rabu – Kerja pengumpulan data taksiran kerugian keseluruhan dialami penduduk yang terjejas dengan kejadian banjir dan kepala air di daerah ini untuk proses pemberian bantuan dijangka siap pada bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah berkata laporan penuh taksiran kerugian itu akan disiapkan secepat mungkin untuk diberikan kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Kita sasarkan supaya selesai laporan kita, maka pihak berwajib akan lebih cepat menyalurkan bantuan wang ihsan kepada penduduk terlibat,“ katanya pada sidang media selepas mengiringi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon melawat kawasan bencana itu di sekitar Kampung Iboi dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shahadan yang juga Pegawai Daerah Baling berkata beliau difahamkan mangsa dari 16 rumah yang rosak teruk sekali gus tidak boleh didiami lagi telah pun mendapat premis sewa masing-masing.

“Mereka cari sendiri rumah itu, kita (kerajaan negeri) bayar sewa selama enam bulan,“ katanya yang turut memaklumkan penyampaian bantuan sewaan rumah itu akan disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, esok.

Dalam kejadian banjir pada 4 Julai lepas itu, sebanyak 41 kawasan terjejas serta mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang ibu hamil berusia 23 tahun.-Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button