Berita UtamaDunia

Ribuan rakyat Palestin adakan protes lawatan Presiden AS ke Tebing Barat esok

Washington ‘korban’ penyelesaian konflik Palestin demi kejar normalisasi Israel dengan negara Arab

TEBING BARAT, 13 Zulhijjah 1443H, Rabu – Beribu-ribu rakyat Palestin bersedia untuk mengadakan perhimpunan bantahan di Tebing Barat susulan lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ke wilayah yang diduduki Israel itu.

Aktivis media sosial menyeru rakyat Palestin untuk turun ke jalan-jalan di bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki, terletak 10 kilometer (enam batu) di utara al-Quds, pada jam 6 petang waktu tempatan (1500 GMT) pada hari Khamis.

Aktivis itu berkata, penunjuk perasaan akan berkumpul di Dataran al-Manara bagi menunjukkan penentangan sengit terhadap rejim Israel yang menduduki dan mengambil tindakan sewenang-wenangnya terhadap negara Palestin.

Biden sedang dalam perjalanan ke wilayah Palestin yang diduduki. Beliau bakal menghabiskan dua hari di Baitulmaqdis yang diduduki untuk berbincang dengan pemimpin Israel sebelum menuju ke Tebing Barat, di mana Presiden AS itu akan bertemu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada hari Jumaat.

Selepas itu, beliau akan mengambil penerbangan terus dari negara haram Israel ke bandar pelabuhan Arab Saudi, Jeddah di Laut Merah untuk berbincang dengan pegawai Arab Saudi dan mengambil bahagian dalam sidang kemuncak sekutu Teluk Parsi.

Sementara itu, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dalam satu kenyataan berkata, lawatan Biden ke Timur Tengah adalah demi kepentingan rejim Israel dan merugikan perjuangan Palestin.

“Lawatan serantau itu bertujuan untuk memacu lebih banyak perpecahan di kalangan negara, mewujudkan pakatan baharu bagi menyokong rejim Zionis dan dasar pengembangannya, dan memusnahkan gerakan perjuangan dunia Islam,” kata jurucakap Hamas, Hazem Qassem.

Qassem seterusnya berkata, percubaan untuk mengeratkan hubungan antara Israel dan dunia Arab, selain menjalin pakatan ketenteraan termasuk dengan Israel menimbulkan bahaya besar kepada isu Palestin serta memudaratkan kepentingan kebangsaan seluruh rantau.

Sehubungan itu, jurucakap Hamas tersebut menuntut hubungan dan perpaduan yang lebih kukuh di kalangan negara, puak politik dan gerakan menentang dasar rejim Tel Aviv dan AS.

Pakar politik berkata, lawatan Biden ke wilayah yang diduduki Israel dan Arab Saudi akan membawa kepada peningkatan penindasan terhadap rakyat Palestin serta aktivis di negara Teluk Parsi.

Pakar berpendapat bahawa lawatan itu nampaknya menjadi petanda bahawa Washington mengorbankan sumbangan bermakna ke arah menyelesaikan konflik Israel-Palestin, dan sebaliknya ia semata-mata mengejar normalisasi hubungan Israel dengan negara-negara Arab. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button