Berita Utama

Teman lelaki wanita hina Islam mengaku tak bersalah muat naik hantaran jelik

Hakim kenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan

KUALA LUMPUR, 13 Zulhijjah 1443H, Rabu – Teman lelaki kepada wanita yang didakwa menghina Islam, dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini atas dua pertuduhan memuat naik hantaran jelik dengan niat menyakitkan hati di media sosial.

Tertuduh yang merupakan penulis sambilan, Alexander Navin Vijayachandran, 38, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Menerusi pertuduhan pertama, dia didakwa memuat naik hantaran yang menyakitkan hati di akaun Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ di pautan Instagram dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu dilakukan di Perdana View Condominium, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, di sini.

Untuk pertuduhan kedua, dia dituduh membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya di aplikasi YouTube pada 16 Jun lalu di tempat sama dan melakukan kesalahan mengikut seksyen yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 1 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, teman wanitanya, Siti Nuramira Abdullah turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghina Islam ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Siber Kuala Lumpur pada Rabu.

Siti Nuramira didakwa mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kegusaran dan suasana tidak harmoni di atas alasan-alasan agama, di antara orang-orang yang menganut agama yang sama ketika mengadakan persembahan komedi berdiri (stand up comedy) di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button