Berita UtamaDunia

Tolak label ‘pengganas’, 9 negara EU teruskan kerjasama dengan NGO Palestin

Tiada maklumat penting dari Israel kaji semula dasar

BRUSSELS, 13 Zulhijjah 1443H, Rabu – Sebanyak sembilan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) akan terus bekerjasama dengan enam kumpulan masyarakat sivil Palestin yang ditetapkan negara haram Israel sebagai ‘pertubuhan pengganas’.

Belgium, Denmark, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Belanda, Sepanyol dan Sweden dalam kenyataan bersama menentang, keputusan Israel yang diumumkan pada Oktober lalu, mengatakan keputusan itu harus dibatalkan.

“Dengan ketiadaan bukti sedemikian, kami akan meneruskan kerjasama dan sokongan padu kami bagi masyarakat sivil di (wilayah Palestin yang diduduki). Masyarakat sivil yang bebas dan kuat amat diperlukan untuk mempromosikan nilai demokrasi dan untuk penyelesaian dua negara.

“Tiada maklumat penting diterima daripada Israel yang mewajarkan untuk mengkaji semula dasar kami terhadap enam NGO Palestin berdasarkan keputusan negara itu untuk menetapkan NGO berkenaan sebagai ‘pertubuhan pengganas’,” katanya.

Pada Oktober 2021, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz mengisytiharkan enam kumpulan masyarakat sivil Palestin sebagai pertubuhan pengganas.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan termasuk Persatuan Sokongan Tahanan dan Hak Asasi Manusia Addameer, Al-Haq, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Bisan, Pertahanan untuk Kanak-kanak Antarabangsa – Palestin, Kesatuan Jawatankuasa Kerja Pertanian dan Kesatuan Jawatankuasa Wanita Palestin.

Penamaan Israel membolehkannya menutup pertubuhan itu, merampas aset, menamatkan kerja dan mendakwa kepimpinan dan kakitangan mereka dengan kesalahan pengganas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button