Berita UtamaDunia

20 maut di tengah Ukraine akibat dibedil roket Russia

Kira-kira 50 orang berada dalam keadaan serius akibat serangan itu

KYIV, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Peluru berpandu Russia membedil bandar Vinnytsia di tengah Ukraine pada Khamis, membunuh 20 orang termasuk dua kanak-kanak dan mencederakan puluhan yang lain.

Pejabat Pendakwa Raya Ukraine mendakwa, bangunan kediaman, premis pentadbiran dan pejabat mengalami kerosakan serta kemusnahan ketara dalam serangan yang menurut tentera Ukraine dilakukan dengan peluru berpandu Kalibr yang ditembak dari kapal selam di Laut Hitam.

Seramai 90 orang mendapatkan rawatan perubatan dan kira-kira 50 daripada mereka berada dalam keadaan serius berikutan serangan itu, yang turut memusnahkan sebuah pusat perubatan dan membabitkan tiga peluru berpandu, kata polis.

Rakaman video menunjukkan asap hitam tebal berkepul-kepul keluar dari sebuah bangunan tinggi dan siren berbunyi ketika pekerja kecemasan bergegas ke tempat kejadian.

Kementerian Pertahanan Russia tidak segera mengulas mengenai laporan daripada Vinnytsia.

Russia yang menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu menafikan sengaja menyasarkan orang awam dalam setiap serangan mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button