Berita Utama

Gerakan hampir pupus, kenapa masih nak beri nyawa?

PAS patutnya ambil pengalaman tahaluf siyasi dengan DAP dulu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 7 Rejab 1442H, Jumaat – “Gerakan adalah parti yang hampir pupus, kenapa perlu parti Melayu memberi nyawa kepada parti yang diibaratkan mayat hidup ini?”

Demikian persoalan dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat susulan tindakan Perikatan Nasional (PN) yang bersetuju menerima masuk keanggotaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia sebagai parti komponen.

Pada 11 Februari lalu, Gerakan diterima menyertai PN selepas Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau, menerima surat pengesahan yang ditandatangani Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Meskipun ramai pihak yang tidak senang dengan perkembangan itu namun PAS – sebagai parti komponen – berpendirian terbuka dengan penyertaan parti berkenaan.

Berikutan itu, Gerakan Kelantan menuntut PAS menyerahkan DUN Kota Lama kepada parti itu untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tuntutan itu dibuat Pembantu Setiausaha Gerakan Kelantan, Gan Thuan Bun selepas mendakwa PAS sudah lama mempertahankan kerusi itu sedangkan majoriti pengundi DUN Kota Lama adalah masyarakat Cina.

Tindakan Gan itu dibuat beberapa hari selepas Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan penyertaan parti terbabit mampu memperkukuhkan lagi perpaduan masyarakat di negara ini.

Mengulas situasi itu, Ustaz Shuhaib mengingatkan PAS supaya belajar daripada kegagalan pengalaman kerjasama – tahaluf siyasi – dengan DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Tiada apa-apa maslahah untuk Islam dan agenda Melayu yang diperolehi daripada kerjasama dengan DAP itu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, beliau berkata, sesiapa yang mengkaji sejarah parti-parti Cina yang begitu lantang menentang Islam dan agenda Melayu secara konsisten seharusnya sedar bahawa sebarang kerjasama dengan mereka adalah naif.

“Siasah Syariah meletakkan syarat yang jelas bahawa kerjasama dengan parti-parti bukan Islam mestilah dalam kerangka mendaulatkan Islam dan agenda Melayu dalam konteks politik di Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button