Berita Utama

Hina Islam: PEMBELA lancar petisyen desak Crackhouse Comedy ditutup

Penutupan sementara tak setimpal kerana pengasas melampaui batas

BANGI, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) hari ini melancarkan petisyen mendesak Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) ditutup terus dan menarik lesen operasi premis itu secara mutlak.

Petisyen desakan di platform change.org itu adalah susulan beberapa kes menghina Islam dalam persembahan komedi di kelab terbabit, termasuk video seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian setelah mengaku menghafaz al-Quran.

Malah, hasil selidik pelbagai pihak, beberapa lagi video persembahan lain turut tersebar termasuk kenyataan-kenyataan media sosial pengasas kelab berkenaan, Rizal Van Geyzel yang banyak membuat lawak mengenai Islam, Melayu serta Bumiputera.

Ini termasuk tangkap layar hantaran seorang wanita muslim bertudung dimalukan ketika disuruh membuka minuman keras oleh seorang pelawak di pentas berkenaan.

“Kita dimaklumkan bahawa DBKL telah mengarahkan penutupan sementara bagi premis ini rentetan kes wanita hina Islam baru-baru ini.

“Namun, kita merasakan penutupan sementara itu adalah tidak setimpal memandangkan pengasas sendiri sudah banyak melampaui batas seolah-olah sebagai sokongan kepada sesiapa sahaja yang ingin berbuat perkara yang sama di atas platformnya itu,” kata PEMBELA.

Menurut PEMBELA, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Timbalan Menteri Wilayah memaklumkan bahawa premis itu beroperasi tanpa lesen yang sepatutnya.

Justeru, perkara itu sudah cukup menjadi penguat untuk lesen perniagaan premis terbabit ditarik secara mutlak.

“Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menyokong dan menyebarkan petisyen ini supaya Kelab Crackhouse Comedy ini ditutup terus dan sebagai iktibar kepada mana-mana premis hiburan sebegini agar menjaga batas-batas yang berteraskan nilai-nilai dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Islam, Melayu dan Bumiputera adalah asas penting.

“Tutup terus Crackhouse Comedy TTDI! Sebarkan petisyen ini ke seluruh pelusuk bandar, kampung dan ceruk,” kata PEMBELA.

Tandatangan petisyen di sini: http://bit.ly/TutupCrackhouseComedy

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button