Uncategorized

Jemaah Malaysia mula pulang ke tanah air bermula 17 Julai

Penerbangan terakhir pula dijangka pada 12 Ogos

MAKKAH, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Jemaah haji Malaysia akan pulang ke tanah air bermula 17 Julai ini dan berlepas dari Jeddah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata penerbangan terakhir pula dijangka pada 12 Ogos iaitu selepas kumpulan jemaah terbabit selesai menziarahi Madinah.

“Seramai 14,305 jemaah negara telah mengerjakan haji dan mereka terdiri daripada 85 peratus di bawah pakej muassasah dan 15 peratus di bawah pakej Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen di bawah Lembaga Tabung Haji (TH).

“Tahniah saya ucapkan kepada pengurusan TH yang telah melaksanakan peranan mengendalikan jemaah haji Malaysia dengan cemerlang,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Idris berkata, tamat musim haji tahun ini, TH akan terus membuat persiapan untuk musim haji tahun 2023 dan beliau yakin agensi itu akan mempertingkatkan perkhidmatan serta menambah baik gerak kerja demi kebaikan jemaah.

Katanya, beberapa perkara telah dibincangkan bersama kerajaan Arab Saudi terutama membabitkan kos mengerjakan ibadah itu yang naik secara mendadak baru-baru ini.

“Pada minggu lepas saya dapat berjumpa dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dan di dalam pertemuan itu juga saya berkongsi kerisauan jemaah dan juga TH tentang kenaikan kos menunaikan haji.

“Kos haji pada tahun ini yang pada mulanya dianggarkan sebanyak RM25,540 sebenarnya telah naik kepada RM28,000 bagi seorang jemaah.

“Ini disebabkan beberapa caj baru dan peningkatan kos sedia ada oleh syarikat pengurusan muassasah serta agensi-agensi lain di Arab Saudi,” katanya.

Keadaan inflasi yang berlaku di seluruh dunia turut menjadi kerisauan beliau terutama dalam urusan ibadah haji dan pihak TH perlu menerima realiti bahawa kenaikan kos berlaku setiap tahun.

Bagaimanapun, Idris berkata, dalam masa sama TH perlu mencari jalan supaya bayaran ibadah itu tidak membebankan bakal haji Malaysia.

“Apa yang pasti ialah kita akan meneruskan bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah yang memerlukan, tetapi kepada bakal haji yang memang mampu saya syorkan untuk membayar penuh kos haji atau kalau mahu boleh pilih pakej swasta,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button