
TOKYO, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Jepun memberi amaran bahawa gelombang baharu jangkitan coronavirus kelihatan merebak dengan pantas dan menggesa orang ramai mengambil perhatian khusus menjelang cuti panjang hujung minggu serta Musim Panas sekolah yang semakin hampir.
Dalam sidang akhbar pertamanya sejak bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe terbunuh dan selepas pakatan pemerintah memenangi pilihan raya pada Ahad, Perdana Menteri, Fumio Kishida berkata, tahap kewaspadaan tertinggi diperlukan.
“Coronavirus merebak ke seluruh negara dan melalui semua kumpulan umur.
“Musim Panas akan datang, interaksi antara semua generasi akan meningkat,” katanya sambil menggesa orang ramai memastikan mereka mendapat suntikan penggalak terutamanya yang berusia 20-an dan 30-an, yang kadar vaksinnya ketinggalan.
Langkah tambahan termasuk membuat suntikan vaksin keempat tersedia kepada lebih ramai orang dan mewujudkan tapak ujian percuma di stesen kereta api dan lapangan terbang, katanya.
Bagaimanapun Fumio berkata, jumlah pesakit yang mengalami gejala teruk dan kematian masih rendah, berikutan itu tiada sekatan pergerakan diperlukan pada masa ini.
Ibu kota Tokyo menaikkan tahap amarannya ke peringkat tertinggi.
Varian BA.5 merangkumi lebih separuh daripada kes baharu.
Pada Rabu, 16,878 kes baharu di Tokyo direkodkan adalah yang tertinggi sejak Februari, manakala jumlah keseluruhan negara meningkat melebihi 90,000, dalam lonjakan jangkitan COVID-19 baru-baru ini ke tahap yang tidak dapat dilihat sejak awal tahun ini.
Ibu kota Jepun mencatatkan 16,662 kes baharu pada Khamis. – Agensi