Berita Utama

Kartel polis wujud jika pegawai pangkat tinggi kompromi dengan pemberi rasuah

Perlu laksana hukuman memalukan kepada pesalah: Musa Hassan

BANGI, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Kartel dalam pasukan polis mungkin wujud jika pegawai berpangkat tinggi berkompromi dengan pemberi rasuah, kata Tan Sri Musa Hassan.

Bekas Ketua Polis negara itu berkata, pemberi rasuah yang ingin membeli pegawai polis biasanya akan menghantar orang tengah terlebih dahulu untuk membuat perjanjian.

“Dia akan mendekati mereka yang boleh berunding, jika kita enggan melayan maka ia tidak akan berlaku begitu juga sebaliknya,” katanya pada Program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Hukuman Rasuah Masih Ringan’ yang disiarkan di portal Sinar Harian. 

Musa berkata, jika pegawai berpangkat tinggi dikompromi dengan rasuah, mereka akan mempengaruhi orang lain dan kartel ini kemudiannya boleh wujud dalam pasukan polis.

“Tiada kartel di kalangan penjawat awam kerana kartel di luar, tetapi apabila penjawat awam berkompromi dan mengikut kehendak sindiket luar maka akan ada kartel di mana dia akan menempatkan pegawai di situ supaya tidak ada tindakan diambil ke atas sindiket itu,” katanya.

Mengulas mengenai hukuman terhadap penjawat awam yang menerima rasuah, Musa menyarankan supaya dilaksanakan hukuman yang boleh memalukan pesalah.

“Laksanakan hukuman yang mengaibkan pesalah contohnya dalam kes rasuah, hukum rotan, laksanakan hukuman sebat awam sehingga takut menerima rasuah.

“Selain merotan, pesalah yang didapati bersalah menerima rasuah, harta mereka perlu dirampas. Selalunya penguat kuasa ini terdedah kepada pelbagai godaan.

“Contohnya, kalau dia (pegawai penguat kuasa) nak duit, dia boleh dapat duit, kalau dia suka hiburan, dia boleh bagi hiburan atau kalau dia seorang perempuan, dia boleh dapat perempuan,” katanya.

Musa berkata, ketika menjadi Ketua Polis negara, beliau bertekad membasmi rasuah dalam pasukan dengan memperkenalkan penggunaan lencana ‘saya anti-rasuah’ sebelum menukarnya kepada slogan ‘integriti amalan kita’ yang kekal sehingga kini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button