Berita Utama

KPT tubuh jawatankuasa mantap tadbir urus kebajikan siswa di IPT

Setuju kecualikan bayaran sewaan 6 bulan kepada pengusaha kafeteria

BANGI, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia dalam menyokong dan memantapkan tadbir urus serta kecekapan penyaluran bantuan kebajikan kepada siswa di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Jawatankuasa induk itu akan dipengerusikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, sementara Naib Canselor, Rektor atau Pengarah akan mempengerusikan jawatankuasa pelaksana di peringkat institusi.

Noraini berkata, mesyuarat pertama pada 12 Julai lalu telah bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran sewaan selama enam bulan kepada Pengusaha Kafeteria dan Penyedia Perkhidmatan Makanan di kampus institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Beliau berkata, pengecualian diberikan supaya tanggungan kos boleh diserap bagi penurunan harga makanan yang dijual kepada pelajar.

Selain itu, jawatankuasa juga bersetuju menu Keluarga Malaysia yang bernilai RM3.50 di bawah inisiatif Food Basket Siswa hendaklah bersesuaian dan mengambil kira kepelbagaian komposisi kaum di IPT.

“Bagi memantau kenaikan harga atau kos barangan dan perkhidmatan yang melibatkan sara hidup siswa di IPT, Pasukan Pemantau KPT – Kos Sara Hidup Siswa (KPTPantau) akan melaksanakan pemantauan secara berterusan.

“Pemerkasaan inisiatif Food Bank Siswa menerusi penubuhan Hab Food Bank Siswa yang akan berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan barang keperluan siswa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noraini berkata, enam hab akan ditubuhkan mengikut zon iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur, Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak.

Katanya, sebagai projek rintis, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersetuju untuk beroperasi sebagai hab bagi Zon Tengah.

“Kadar upah bagi Program Job on Campus (JoC) akan diteliti semula agar selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2022 oleh pihak kerajaan. 

“Pihak IPT turut disaran untuk meningkatkan jumlah penempatan JoC supaya lebih ramai pelajar khususnya golongan berkeperluan dibantu dan memperoleh manfaat menerusi program tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sebuah pelan tindakan yang holistik, sinergi dan mampan akan dibangunkan sebagai panduan kepada IPT dalam usaha memperkasakan kebajikan siswa.

“Selain daripada aspek kos makanan, pelan ini turut mengambil kira konteks sara hidup siswa yang lebih luas.

“Ini termasuklah aspek keperluan pengajaran dan pembelajaran (seperti pelan data dan peranti), penginapan, pengangkutan dan yuran,” katanya.

Noraini berkata, KPT juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan bagi melihat kebolehlaksanaan pemberian rebat atau pengecualian cukai kepada penyumbang yang menyalurkan tajaan dalam pelbagai bentuk, termasuklah bantuan tunai, barangan atau perkhidmatan berkaitan keperluan siswa.

Katanya, ini bagi menggalakkan kolaborasi bersama pihak korporat, industri dan juga orang perseorangan.

Dalam pada itu, jawatankuasa bersetuju kekerapan pergerakan pengangkutan di dalam dan luar kampus oleh pihak IPT ditambah.

“Menjadi harapan saya agar semua inisiatif yang berpaksikan hasrat memperkasakan kebajikan pelajar di IPT ini akan mendapat sokongan serta kerjasama penuh semua pihak termasuk warga IPT, pelajar dan agensi luar bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button