Uncategorized

PAS Terengganu tak pernah larang Khairuddin sampaikan kuliah di masjid

Timbul dakwaan pihak tertentu dalam PAS arah batal program

BANGI, 5 Ramadan 1443H, Khamis – Terengganu tidak pernah menghalang Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyampaikan kuliah di mana-mana masjid atau surau di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, bekas pemimpin PAS itu boleh menjalankan aktiviti berkenaan sekali gus menafikan dakwaan yang timbul, baru-baru ini.

“Tiada (sekatan) kerana jemputan dibuat oleh pihak masjid dan surau.

“Beliau boleh menjalankan aktiviti berkenaan dan kita tidak pernah menghalangnya,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Sebelum ini, timbul dakwaan masjid dan surau di Kuala Nerus diminta membatalkan program kuliah termasuk kuliah Ramadan yang disertai Mohd Khairuddin atas arahan pihak tertentu dalam PAS kawasan itu.

Bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang kini bergelar Ahli Parlimen bebas itu aktif memberi kuliah di masjid dan surau di sekitar Terengganu sejak sekian lama.

Khairuddin sebelum ini merupakan Setiausaha Majlis Syura PAS digugurkan jawatan berkenaan sebelum beliau membuat pendirian keluar daripada PAS berkuat kuasa serta-merta, 14 Mac lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button