Musim baharu umrah bermula 3O Julai
Permit boleh dikeluarkan pada jemaah haji domestik melalui Eatmarna

JEDDAH, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Arab Saudi mengumumkan musim baharu umrah akan bermula pada 1 Muharram 1444H bersamaan dengan 30 Julai 2022.
Menurut Kementerian Haji dan Umrah, permohonan untuk mengeluarkan visa bagi jemaah haji yang datang dari semua negara untuk menunaikan ibadah umrah dan melawat Masjid Nabawi akan mula diterima mulai hari ini.
Sementara, permohonan umrah untuk jemaah dari dalam dan luar negara akan bermula pada 30 Julai ini, kata kementerian dalam satu kenyataan.
Katanya, syarat-syarat pengeluaran visa umrah boleh didapati dengan melayari pautan http://haj.gov.sa/ar/InternalPages/Umrah.
“Permit juga boleh dikeluarkan kepada jemaah haji domestik melalui aplikasi Eatmarna.
“Ini adalah selaras dengan sistem bersepadu perkhidmatan kesihatan dan langkah-langkah yang diluluskan oleh pihak berkuasa berkaitan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan jemaah haji serta pelawat, dalam prosedur mudah yang memastikan pelaksanaan ibadah umrah dengan mudah dan selesa,” katanya.
Peraturan kelayakan ejen asing memberi perkhidmatan jemaah umrah dan pengunjung Masjid Nabawi termasuk mengemukakan permohonan kelayakan melalui portal Kementerian Haji dan Umrah.
Mereka juga harus mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam portal dengan melampirkan dokumen dan data berkaitan dengan pendaftaran komersial, keahlian Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) serta beberapa data peribadi. – Agensi