Berita UtamaDunia

Penduduk Afghanistan lancar kempen ‘Buka Semula Sekolah Perempuan’ secara dalam talian

‘Tindakan media sosial sedarkan orang ramai dan dunia tentang masalah di negara ini’

KABUL, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Penduduk Afghanistan dari dalam dan luar negara telah melancarkan kempen dalam talian sebagai menuntut sesi persekolahan pelajar perempuan dibuka semula dan berjalan lancar.

Kempen yang dilancarkan beberapa hari lalu itu dinamakan sebagai ‘Buka Semula Sekolah Perempuan’ mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelbagai pihak walaupun dilancarkan secara dalam talian.

Sekolah untuk pelajar perempuan khususnya Gred 6 ke atas telah ditutup sejak 11 bulan lalu, walaupun kerajaan Emiriah Islam Afghanistan (IEA) memberi jaminan peluang pendidikan kepada remaja perempuan.

Beberapa aktivis wanita yang lantang menyuarakan isu berkenaan berkata, masalah buta huruf kini lebih dahsyat berbanding peperangan.

Malah menyifatkan pendidikan untuk pelajar perempuan juga merupakan sebahagian daripada hak asasi manusia.

“Bantahan secara awam sudah tidak lagi berkesan, namun tindakan yang kami lakukan ini telah menyedarkan orang ramai dan dunia tentang masalah di negara ini.

“Kami akan meneruskan bantahan ini melalui rangkaian media sosial,” kata aktivis wanita, Munisa Mubariz.

Sementara itu, IEA sehingga kini tidak memberi sebarang keputusan rasmi berhubung isu pembukaan sekolah bagi pelajar perempuan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button