Berita Utama

Perundangan Azerbaijan longgar, faktor waris kesultanan Sulu rampas aset negara

Pasukan Peguam Negara sudah menduga perkara ini akan berlaku: Pemerhati

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Faktor perundangan antarabangsa yang longgar memberi peluang kepada waris kesultanan Sulu merampas aset Malaysia di luar negara seperti berlaku terhadap dua anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan, baru-baru ini.

Pemerhati politik antarabangsa, Dr Azmi Hassan berkata, waris kesultanan Sulu sengaja mencari sasaran yang mudah demi kepentingan mereka.

“Saya melihat sasarannya adalah mencari sesuatu yang mudah terutama di negara-negara yang dikatakan mempunyai perundangan antarabangsa yang longgar.

“Saya pasti pasukan peguam-peguam negara yang menguruskan perkara ini telah menduga perkara ini akan berlaku.

“Dalam hal ini, kita kena tunggu tindakan seterusnya kerana penghakiman terhadap kes berkenaan dihentikan buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan waris kesultanan Sulu yang merampas aset dua anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan dan menuntut RM62.59 bilion dari Malaysia.

Langkah berkenaan adalah sebahagian tindakan undang-undang dikemukakan pada 2017 oleh waris kesultanan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, asas yang digunakan oleh pihak mewakili kesultanan Sulu bagi merampas aset berkenaan adalah kerana Malaysia merupakan ahli Konvensyen New York.

Tegas beliau, sebagai ahli, Malaysia perlu akur dengan keputusan tribunal tetapi keputusan di Perancis dibuat secara sebelah pihak kerana Kuala Lumpur tidak mengiktiraf pihak plaintif atau kesultanan Sulu.

Pada Mac lalu, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia, yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak RM62.59 bilion.

Keturunan Sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II menuntut jumlah amat besar sebagai pampasan dari Malaysia berikutan proses timbang tara.

Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan RM62.59 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah tidak sah kerana tidak berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata, keputusan yang ditetapkan penimbang tara, Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button