Dunia

Presiden Sri Lanka larikan diri dengan jet tentera

Didakwa menuju ke Maldives bersama isteri, pengawal peribadi

COLOMBO, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Bekas Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa – pemimpin yang bertanggungjawab terhadap krisis ekonomi – didakwa melarikan diri dari negara itu dengan jet tentera pada Rabu.

Menurut laporan yang memetik sumber pegawai tempatan, Rajapaksa, isteri dan seorang pengawal peribadi didakwa menuju ke Maldives.

Di tengah-tengah bantahan besar-besaran ekoran krisis ekonomi, Speaker Parlimen Sri Lanka, Mahinda Yapa Abeywardena memaklumkan bahawa presiden meletakkan jawatannya pada 13 Julai.

Perkembangan itu berlaku selepas beribu-ribu penunjuk perasaan merusuh dan menyerbu Istana Presiden di Colombo pada Sabtu, selain membakar kediaman perdana menteri.

Rajapaksa dilaporkan telah dipindahkan dari Istana Presiden dan lokasinya sekarang tidak diketahui.

Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe juga telah bersetuju untuk meletakkan jawatan selepas pembentukan kerajaan bersama semua parti.

Lumpuh akibat kekurangan pertukaran asing selepas kejatuhan ekonomi akibat bergantung kepada sektor pelancongan, Sri Lanka yang mempunyai 22 juta penduduk gagal membayar semua hutang asingnya.

Akibatnya, negara itu tidak mampu membayar minyak dan keperluan lain, menyebabkan protes antikerajaan berlaku.

Kekurangan bahan api untuk menjalankan stesen jana kuasa menyebabkan bekalan elektrik terputus setiap hari, sekolah ditutup dan kakitangan kerajaan diminta bekerja dari rumah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button