New Jersey lantik hakim pertama berhijab di Mahkamah Tinggi
Nadia Kahf angkat sumpah jawatan sambil pegang al-Quran
NEW JERSEY, 5 Ramadan 1444H, Isnin – Peguam Amerika Syarikat (AS) dilantik ke Mahkamah Tinggi New Jersey, sekali gus menjadi hakim pertama berhijab di negeri itu.
Nadia Kahf – peguam imigresen dari perbandaran Wayne – mengangkat sumpah jawatannya pada Khamis lalu sambil memegang naskah al-Quran.
Pengamal undang-undang berasal dari Syria itu akan berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Tinggi Passaic County selepas Gabenor New Jersey, Phil Murphy mencalonkannya setahun lalu.
Walaupun bukan wanita Islam pertama yang berkhidmat sebagai hakim negeri, Nadia adalah hakim pertama yang bertudung.
Beliau juga penasihat undang-undang kepada Wafa House, sebuah agensi keganasan rumah tangga dan perkhidmatan sosial yang berpangkalan di bandar Clifton, selain menjadi Pengerusi Pusat Islam Daerah Passaic.- Agensi