Dunia

Singapura rekod kes tempatan kedua cacar monyet

Pesakit warga Britain alami ruam kemudian demam

SINGAPURA, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan kes jangkitan tempatan kedua wabak cacar monyet di negara ini.

Menurut kementerian, pesakit adalah warga Britain berusia 48 tahun yang tinggal di Singapura dan disahkan positif cacar monyet pada Rabu.

“Dia kini dimasukkan ke wad di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) dan keadaannya stabil,” kata kementerian dalam laman web rasminya.

Lelaki itu dilaporkan mengalami ruam di kawasan perianal – kawasan badan di sekeliling dubur – pada 6 Julai dan kemudiannya demam pada 11 Julai.

Dia mendapatkan rawatan perubatan pada 13 Julai dan dimasukkan ke NCID pada hari yang sama.

Kementerian berkata, pengesanan kontak sedang dijalankan dan kes itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes cacar monyet yang diumumkan sebelum ini.

Antara lima kes cacar monyet di Singapura sejak Jun, tiga daripadanya adalah kes import dan dua jangkitan tempatan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button