Berita Utama

Syamsul Yusof sokong kelab komedi babit persembahan hina Islam ditutup

‘Tak faham kenapa ada yang kurang senang dengan agama Islam’

BANGI, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Pengarah filem, Syamsul Yusof kini menyokong sepenuhnya penutupan Crackhouse Comedy Club yang terpalit beberapa insiden didakwa menghina agama dan bangsa, baru-baru ini.

Beliau berkata, kenyataan tersebut dibuat selepas benar-benar memahami keadaan sebenar yang terjadi.

“Setelah jelas keadaan sebenar, dengan bukti dan fakta, saya sokong penuh kelab ini ditutup. Jangan kamu sesekali pernah terfikir menghina Islam. Lailahaillallah Muhammadarrasulullah,” katanya menerusi  status terbaharu dalam Instagram.

Sebelum ini, Pengarah Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu berpandangan bahawa penutupan premis yang terletak di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur masih boleh dibincangkan.

“Mungkin saya tidak sependapat tentang cadangan untuk menutup terus Crackhouse Comedy Club dan masih boleh dibincangkan.

“Namun, amaran keras dan undang-undang harus diperketat,” katanya.

Bagaimanapun, semalam, Syamsul hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi; pelawak, Sharol Shiro dan beberapa penyokong serta ahli Semboyan Malaysia untuk membuat laporan terhadap pemilik kelab berkenaan.

“Isu ini harus diteliti. Ianya berbalik kepada pemimpin balik, dan harus dipandang serius. 10 jari saya memohon maaf, tetapi agama rasmi di negara ini adalah agama Islam.

“Saya tak tahu kenapa ada orang yang kurang senang dengan agama ini. Dalam filem Mat Kilau sekali pun begitu, saya mengangkat semangat nasionalisme dan semangat jati diri Melayu. Tidak menghentam mana-mana kaum. Malahan filem ini ditonton oleh kaum India, kaum Cina yang menyukai filem ini.

“Mungkin kerana mesej filem ini terlalu kuat, ada pihak atau golongan mula rasa kurang senang. Saya percaya apa yang kita lihat hari ini, di video tular itu bukan kali pertama. Saya percaya dah banyak.

“Jadi perkara ini harus berhenti di sini,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button