Berita Utama

Tingkatkan hukuman hina Islam ke tahap maksimum

Jangan beri muka kepada sesiapa perlekeh ajaran Islam

BANGI, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Sudah sampai masanya kadar hukuman penghinaan terhadap Islam ditingkatkan lagi ke tahap maksimum bagi memberikan pengajaran kepada orang ramai.

Menyuarakan pandangan itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sekiranya berpeluang berucap pada sidang dewan minggu depan, beliau berhasrat untuk melontarkan isu ini di Dewan Rakyat.

“Jangan bagi muka kepada sesiapa pun yang berani menghina dan memperlekehkan ajaran Islam.

“Saya setuju dengan gesaan agar satu kelab komedi yang terbukti menjadi markas kegiatan penghinaan ini turut ditutup seberapa segera,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ketua Pemuda PAS itu merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak yang mengambil tindakan ke atas individu menghina Islam.

“Tahniah dan syabas PDRM telah bertindak cepat menangkap penghina syariat Islam, tahniah pasukan pendakwaan yang mengheret ke mahkamah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina Islam,” katanya.

Terdahulu, wanita yang tular membuka tudung dan menanggalkan baju kurung dalam satu persembahan di sebuah kelab, Siti Nuramira Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni di kalangan sesama Islam.

Mengikut pertuduhan, Siti Nuramira didakwa telah mengaku bahawa dia adalah seorang muslim dan telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudiannya bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Crack House Comedy Club, Tingkat 1, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) jam 6 petang pada 4 Jun lalu (2022).

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/07/13/wanita-hina-islam-mengaku-tak-bersalah-ikat-jamin-rm20000/
https://ismaweb.net/2022/07/13/teman-lelaki-wanita-hina-islam-mengaku-tak-bersalah-muat-naik-hantaran-jelik/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button