Berita Utama

Lelaki direman berhubung komedi isu perkauman dibebaskan dengan jaminan polis

Lelaki itu direman sehari bermula semalam bagi melengkapkan proses siasatan

KUALA LUMPUR, 15 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Seorang lelaki yang ditahan reman kerana disyaki menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail di sini, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 39 tahun itu dibebaskan memandangkan siasatan terhadapnya telah selesai.

Beliau berkata lelaki itu direman sehari bermula semalam bagi melengkapkan proses siasatan dan kertas siasatan polis akan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya setelah siasatan dari segala sudut selesai.

Difahamkan lelaki itu merupakan pemilik kelab komedi berkenaan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini dua rakaman video yang dipercayai memaparkan lelaki terbabit melakukan persembahan komedi di kelab komedi itu, tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

Pada Rabu lepas, seorang wanita didakwa di mahkamah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi itu manakala teman lelakinya didakwa atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button