Berita Utama

Jawatan TPM, janji wajar ditunaikan

Hanya yang berwibawa tinggi layak dilantik: Penganalisis

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 15 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali menyifatkan isu berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri merupakan satu perkara yang serius kerana membabitkan draf perjanjian Memorandum Perjanjian (MoA). 

Pada Isnin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa sememangnya wujud perjanjian mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kuota Kabinet.

Beliau berkata, selaku Pengerusi PN, Muhyiddin menandatangani perjanjian itu bersama-sama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan disaksikan oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Tan Sri Annuar Musa.

Malah, katanya, draf perjanjian itu digubal oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS.

Mengulas perkara itu, Dr Mazlan berkata, sekiranya wujud MoA tersebut, maka ia sewajarnya ditunaikan selaras dengan perjanjian antara pihak terlibat.

“Sebenarnya ini satu perkara yang dianggap serius kerana ia merupakan satu memo dalam bentuk perjanjian. Asasnya MoA tu ada terma-terma yang sudah dipersetujui. 

“Kalau ia berdasarkan kepada janji yang sudah diikat antara UMNO dan Bersatu, maka ia patut ditunaikan dan diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Bersatu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas kewajaran mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Dr Mazlan berkata, hakikatnya ia adalah satu perkara yang baik bagi membantu tugas Perdana Menteri.

“Sebenarnya ada baik juga jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan kerana kita lihat dalam situasi krisis sekarang, Perdana Menteri memerlukan fokus di pelbagai sektor baik di luar negara mahupun dalam negara. 

“Kita lihat jawatan Timbalan Perdana Menteri juga mempunyai pengaruh yang tersendiri, dianggap sebagai orang yang boleh menyelaraskan perjalanan kementerian yang ada sekiranya berlaku salah faham dan sebagainya.

“Maka jawatan ini mempunyai satu wibawa yang begitu tinggi, berpengaruh seperti Perdana Menteri. Kita lihat semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohammad dahulu, semasa krisis UMNO, Tun Ghaffar Baba menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri yang cukup berkesan yang dapat membantu Tun M untuk menyatu kembalikan UMNO pada masa itu,” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa syarat utama bagi melantik seseorang Timbalan Perdana Menteri adalah perlu mempunyai wibawa yang tinggi.

“Dalam konteks kerajaan sekarang ini saya fikir tidak ada masalah untuk mewujudkan jawatan ini asalkan dia memainkan fungsinya dengan baik. Soal perjanjian itu, Perikatan Nasional berhak mendapat jawatan itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button