Berita UtamaDunia

PBB gesa hak sama rata kepada wanita Afghanistan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia perlu dipulihkan semula

GENEVA, 15 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) hari ini menerima resolusi yang mengesahkan komitmennya terhadap hak sama rata bagi wanita di Afghanistan.

Suruhanjaya itu mengesa Taliban menubuhkan institusi bagi melindungi hak wanita dan mangsa keganasan seksual.

Resolusi yang bertajuk ‘Situasi Hak Asasi Manusia bagi Wanita dan Kanak-Kanak di Afghanistan’ adalah susulan perdebatan yang diadakan oleh HRC 1 Julai lalu untuk membincangkan kemerosotan hak wanita sejak Taliban mengambil alih kerajaan Afghanistan, Ogos tahun lalu.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet berkata, sejak Taliban mengambil alih kuasa, wanita dan kanak-kanak Afghanistan berdepan pelbagai masalah.

Antaranya dicabul hak mereka dalam menikmati kehidupan secara menyeluruh sehingga menjalani kehidupan dalam keadaan ketakutan.

“Pihak berkuasa de facto yang menjalankan kawalan berkesan” ke atas negara, Taliban diwajibkan secara sah di bawah perjanjian antarabangsa untuk “menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dan memastikan hak wanita di negara itu untuk mempunyai hak yang sama dalam kehidupan sivik dan awam, termasuk politik.

“Hak yang dinyatakan dalam resolusi tersebut termasuklah hak untuk kebebasan bergerak, hak untuk mendapat pendidikan, hak untuk menikmati tahap kesihatan fizikal termasuk kesihatan seksual dan reproduktif mereka.

“Selain itu golongan wanita juga mempunyai hak untuk bekerja dan hak untuk akses kepada keadilan atas dasar sama rata dengan orang lain, untuk semua remaja perempuan, wanita dan kanak-kanak di Afghanistan,” katanya.

Resolusi berkenaan turut menggesa sesi HRC seterusnya menganjurkan dialog antara Pelapor Khas mengenai hak asasi manusia di Afghanistan dan beberapa kumpulan hak asasi manusia lain, agensi PBB dan pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong hak wanita di negara berkenaan.

Di penghujungnya, resolusi menggesa Taliban memastikan mangsa keganasan seksual mempunyai akses kepada keadilan, selain memulihkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Bebas Afghanistan atau menubuhkan institusi sama yang mematuhi Prinsip Paris.

Selain perlu mengembalikan semula Kementerian Hal Ehwal Wanita demi membela nasib golongan berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button