Berita Utama

‘Pelawak’ buka aurat, hina Islam jatuhkan maruah wanita

Pemikiran liberal buatkan seseorang merasakan agama tiada nilai

BANGI, 15 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Tindakan wanita yang tular kerana menanggalkan pakaian dan tudung selepas mengaku muslim serta menghafal 15 juzuk al-Quran bukan sahaja mempersenda agama Islam, tetapi merendahkan martabat sendiri. 

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi berkata, wanita yang mengaku dirinya pelawak itu turut menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita muslimah apabila telah mendedahkan auratnya di hadapan orang ramai tanpa segan silu. 

Lebih dikesalkan, katanya, apabila didapati latar belakang keluarga wanita tersebut menitikberatkan pendidikan agama. 

“Keluarga yang menitikberatkan penjagaan aurat dengan penekanan memakai tudung dan stokin sedari kecil. Malah dihantar pula ke sekolah agama dan menghafal al-Quran. 

“Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh kita masyarakat Islam kini. Cabaran pemikiran yang menyerang secara halus. 

“Pemikiran liberal dan Barat yang boleh membuatkan seseorang rasa tidak bersalah dalam melakukan maksiat atas nama hak kebebasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Suriani berkata, keadaan ini menunjukkan pengaruh hak kebebasan manusia yang bertunjangkan humanisme semakin meresap masuk ke dalam masyarakat Islam. 

Katanya, pemikiran sebegini yang membuatkan seseorang merasakan bahawa agama tiada nilai. 

Malah, mereka berasa bangga pula apabila mempersenda dan mempermainkan agama Islam serta langsung tidak rasa bersalah atas tindakan yang dilakukan. 

“Inilah yang ingin dicapai oleh golongan liberal. Menjauhkan umat Islam dari ikatan agama yang sebenar. Meleraikan satu persatu ikatan iman dan Islam dalam diri seseorang hingga akhirnya keluar dari Islam. 

“Untuk itu, dalam mendalami Islam, umat Islam juga perlu kenal siapakah musuh dan apakah perancangan mereka agar kita kenal dan berhati-hati dalam setiap langkah kita,” katanya.

Terdahulu, wanita tersebut yang bernama Siti Nuramirah Abdullah, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menghina agama Islam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan umat Islam ketika membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun.

Wanita tersebut, minta dibicarakan, selepas didakwa menyebabkan permusuhan dan kebencian di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button