Berita Utama

Ramai sokong petisyen desak Crackhouse Comedy Club ditutup

Berjaya himpun 17,785 tandatangan selepas 13 jam dilancarkan

BANGI, 15 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Petisyen yang mendesak penutupan Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Sehingga jam 1.30 tengah hari ini, petisyen desakan di platform change.org berjaya mencapai 17,785 tandatangan dalam tempoh 13 jam dilancarkan.

Petisyen ini susulan beberapa kes menghina Islam dalam persembahan komedi di kelab terbabit, termasuk video seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian setelah mengaku menghafaz al-Quran.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya menggesa orang ramai terus menyokong petisyen berkenaan.

“Petisyen desak tutup Crackhouse Comedy TTDI sudah capai lebih 10,000 sokongan. Alhamdulillah.

“Tutup terus Crackhouse Comedy TTDI!!! Sebarkan petisyen ini ke seluruh pelusuk bandar, kampung dan ceruk.

“Teruskan menyokong dengan berkongsikan pautan petisyen ini, bit.ly/TutupCrackhouseComedy,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam PEMBELA, melancarkan petisyen berkenaan dan mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menyokong dan menyebarkan petisyen ini supaya Kelab Crackhouse Comedy ini ditutup terus.

Langkah berkenaan sebagai iktibar kepada mana-mana premis hiburan sebegini agar menjaga batas-batas yang berteraskan nilai-nilai dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Islam, Melayu dan Bumiputera adalah asas penting.

Haji Aminuddin berkata, DBKL sebelum ini telah mengarahkan penutupan sementara bagi premis ini rentetan kes wanita hina Islam baru-baru ini.

“Namun, kita merasakan penutupan sementara itu adalah tidak setimpal memandangkan pengasas sendiri sudah banyak melampaui batas seolah-olah sebagai sokongan kepada sesiapa sahaja yang ingin berbuat perkara yang sama di atas platformnya itu.

DBKL melalui Timbalan Menteri Wilayah memaklumkan bahawa premis ini beroperasi tanpa lesen yang sepatutnya. Maka, ini sudah jadi penguat juga kepada sebab lesen perniagaan ditarik secara mutlak,” katanya.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/07/14/hina-islam-pembela-lancar-petisyen-desak-crackhouse-comedy-ditutup/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button