Berita Utama

Filem Mat Kilau meniup rasa patriotisme dalam diri rakyat

Zulkifli kongsi memori bapanyanya menemui Mat Kilau selepas kemunculan semula

BANGI,16 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Filem yang mengangkat kisah perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan disifatkan sebagai naskhah yang lahir tepat pada masanya di ambang sambutan kemerdekaan negara.

Bukan sekadar berjaya meniup rasa bangga dan patriotisme dalam diri rakyat di negara ini tetapi turut mendidik sifat positif yang perlu ada dalam diri seseorang demikian pandangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

“Filem ini mendidik kita erti berpegang kepada agama, menghormati guru, mengasihi rakan taulan, setia kawan, mempunyai semangat juang yang amat tinggi tanpa menyerah kepada penjajah.

“Moga semangat perjuangan dan patriotisme kita terus membara. Menjadi titik perubahan kepada pembangunan bangsa, agama dan industri perfileman tanah air,” katanya menerusi perkongsian ideanya berkaitan isu-isu semasa di blog al-Mawaqif.

Kongsi Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan ke-7, filem biografi epik itu turut mengingatkan beliau pengalaman bapanya bertemu Mat Kilau di Pulau Tawar selepas kemunculan semula pahlawan Melayu berkenaan.

“Filem Mat Kilau mengingatkan saya akan sekeping gambar yang disimpan ayahanda saya. Mat Kilau ditemui semula pada tahun Disember 1969, tahun saya dilahirkan.

“Zulkifli bin Mohamad masih seorang bocah berumur sekitar 1 tahun pada masa itu. Sudah pasti saya tidak ada memori tentang beliau.

“Namun, pada tahun yang sama juga ayahanda saya, Ustaz Mad bersama beberapa orang rakannya telah pergi ke Pulau Tawar untuk bertemu dengan Mat Kilau selepas heboh kemunculannya semula setelah 70 tahun menghilang,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi gambar kenangan bapanya dan beberapa rakan bersama Mat Kilau yang masih kekal dalam simpanan keluarga sehingga hari ini.

Pada masa sama, Zulkifli menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada penerbit, pengarah, pelakon, kru dan semua yang terbabit dalam menjayakan filem epik sejarah yang mendapat sambutan luar biasa itu sehingga berjaya meraih kutipan melebihi RM70 juta.

“Saya melihat ruang yang lebih luas jika pelbagai pihak berkepentingan terutamanya kerajaan dapat berganding bahu dalam memajukan industri perfileman tanah air.

“Selain dapat kembali memberi manfaat bagi menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button