Berita Utama

Filem Mat Kilau kutip RM80 juta 25 hari tayangan

Tiba masa industri filem Malaysia bangkit ke peringkat lebih baik: Syamsul

BANGI, 16 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terus menguasai tayangan di pawagam dengan kutipan terkini mencecah RM80 juta.

Filem terbitan Studio Kembara itu masih mendapat sambutan luar biasa daripada penonton meskipun sudah 25 hari tayangan.

Pengarahnya, Syamsul Yusof meluahkan rasa syukur terhadap sambutan berterusan daripada penonton kepada filem epik berkenaan.

“Allah lah yang telah gerakkan hati kalian untuk membeli tiket tonton filem ini! Sujud syukur #matkilau,” katanya di Instagram, hari ini.

Menerusi hantaran berasingan, Syamsul berkata, sudah tiba masanya untuk industri filem Malaysia bangkit ke satu peringkat yang lebih baik.

“Pada yang memberi komen positif untuk filem saya, syukur dan terima kasih saya amat terharu dan hargai anda! 

“Pada yang katakan filem saya kali ini sampah/lemah, juga saya terima dengan berlapang dada kerana ‘there’s no such thing as perfect film’,” katanya.

Beliau berkata, akan terus fokus dan sedaya upaya membawa industri filem Malaysia ke satu peringkat yang lebih baik walaupun terlalu banyak kelemahan.

“Kelemahan inilah yang telah membunuh industri dan pengkarya filem! FINAS, orang filem dan kerajaan ayuhlah bangkit baiki kelemahan industri filem. Ayuh ikhlas dalam perjuangan ini,” katanya.

Sejak mula ditayangkan, filem yang diinspirasikan daripada sejarah benar tanah air itu telah mencetuskan fenomena dan membangkitkan semangat kepahlawanan apabila ramai yang berbusana Melayu dan bersilat ketika hadir ke pawagam.

Filem yang menelan kos RM8 juta itu dibarisi ramai pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon dari seberang, Yayan Ruhian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button