Berita Utama

ISMA sokong tindakan tegas pada individu persenda Islam

Crackhouse Comedy Club wajar ditutup terus, anjur persembahan hina agama

BANGI, 16 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyokong tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mempersendakan agama Islam, termasuk dalam persembahan komedi di Crackhouse Comedy Club, baru-baru ini.

Ini susulan tindakan seorang pelawak wanita yang bangga membuka pakaian dan tudung setelah mengaku kononnya menghafaz 15 juzuk al-Quran.

Bukan setakat itu, satu tangkap layar – membabitkan persembahan di kelab sama – memaparkan tindakan biadap pelawak yang meminta penonton wanita bertudung membukakan minuman keras.

Naib Presiden ISMA, Ustaz Mohd Azib Asmangi menyifatkan dua insiden berkenaan bukan hanya tidak bermaruah, malah tak wajar dan tidak sensitif.

Justeru, ISMA turut berpendirian bahawa kelab di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) itu wajar terus ditutup kerana jelas tidak bertanggungjawab menganjurkan persembahan komedi yang menghina Islam dan bangsa Melayu.

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.”

“Katakanlah: RasulNya kamu memperolok-olol dan mengejeknya?”,” kata Ustaz Mohd Azib yang memetik surah At-Tawbah ayat 65. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan meminta orang Islam membuka minuman keras yang terang-terangan bertentangan Islam dan tatasusila budaya itu, bukan sahaja menghina kehormatan agama tetapi juga satu penghinaan kepada seluruh masyarakat muslim.

“ISMA menyeru umat Islam agar tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti mempersendakan kesucian agama Islam dan seterusnya menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap premis dan pemilik kelab komedi tersebut,” katanya.

Terdahulu, satu petisyen dilancarkan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bagi mendesak penutupan sepenuhnya kelab komedi terbabit.

Setakat jam 8.30 malam ini, petisyen di platform change.org itu sudah mendapat lebih 28,000 tandatangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button