Berita Utama

Jho Low dilapor tawar RM1.5 bilion untuk selesai pertuduhan

Bagaimanapun kerajaan dikatakan menolak tawaran berkenaan

BANGI,16 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dilaporkan pernah menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan bagi menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.

Bagaimanapun kerajaan dikatakan menolak tawaran yang dihulurkan ahli perniagaan berusia 41 tahun itu, lapor The Edge seperti dipetik Malaysiakini, hari ini.

Laporan yang disiarkan mendakwa bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mewakili Jho Low dalam rundingan dengan kerajaan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula mengakui langsung tidak mengetahui mengenai perkara berkenaan.

Jho Low dikaitkan sebagai dalang di sebalik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan didakwa tanpa kehadiran di Mahkamah Amerika Syarikat (AS) serta Malaysia.

Sehingga kini Jho Low dalam pelarian dan lokasi terkininya tidak diketahui.

Pada 2018, Jabatan Kehakiman AS mendakwa Jho Low dengan konspirasi untuk mengubah berbilion dolar daripada dana kekayaan Malaysia, dan konspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS.

Di Malaysia, beliau dan rakan sekutunya berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion, selain menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram berasingan dengan pembantunya, Eric Tan Kim Loong sebanyak AS$125.97 juta.

Pada 2020, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa satu lagi pertuduhan terhadap Jho Low serta rakan-rakannya, dan kali ini didakwa terlibat dalam konspirasi jenayah bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM60,629,839.43.

Bagaimanapun,Jho Low berulang kali mendakwa tidak bersalah dan pada wawancara 2020 beliau mendakwa dirinya hanyalah perantara dalam urusan 1MDB.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button