Berita Utama

Kerajaan kaji semula perolehan projek, utamakan beri impak segera

Selaras dengan hasrat kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan

KUALA LUMPUR, 16 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Kerajaan akan mengkaji semula proses perolehan bagi projek-projek yang belum dimulakan bagi mengawal perbelanjaan pembangunan, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Bagaimanapun, keutamaan akan terus diberikan kepada projek yang mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat, jelasnya.

Dalam Pekeliling Perbendaharaan Malaysia – Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam, MOF berkata kementerian, jabatan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan hendaklah meneruskan proses praperolehan yang tiada implikasi kewangan seperti perancangan, membuat reka bentuk, kebenaran merancang, menyelesaikan urusan berkaitan tanah/tapak projek dan sebagainya.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Asri Hamidon berkata selaras dengan hasrat kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan bagi semua projek yang sedang dalam pelaksanaan, kementerian/ jabatan/ agensi hendaklah memantau secara rapi kemajuan projek agar ianya siap dalam tempoh ditetapkan.

Tambahnya, sebarang arahan perubahan (variation order-VO) yang mengakibatkan pertambahan kos projek hendaklah dielakkan dan sekiranya amat perlu berdasarkan peraturan semasa, VO tersebut perlu ditampung menggunakan penjimatan siling semasa kementerian/ jabatan/ agensi/ badan berkanun Persekutuan.

Di samping itu, semua perbelanjaan bagi perolehan aset baharu termasuk pembelian kereta, perabot dan lain-lain kelengkapan pejabat yang tidak mendesak yang belum dipesan atau ditandatangani hendaklah ditangguhkan kecuali kelulusan khas MOF telah diperolehi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button