Berita Utama

Kerja baik pulih lif PPR, PA secara berfasa merisikokan penghuni: BERJASA

Ada cedera kerana lif terhempas, selain terperangkap akibat lif sangkut

BANGI, 16 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Parti BERJASA menyifatkan kerja penggantian dan membaik pulih unit lif di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) secara berfasa dalam tempoh dua tahun, akan merisikokan penghuni kediaman berkenaan.

Malah, Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan turut mempersoalkan langkah kerajaan yang mengambil masa sehingga dua tahun untuk membaiki lif rosak di satu-satu PPR di ibu negara.

Beliau berkata, kerja pembaikan secara berfasa itu menyebabkan penghuni di PPR dan PA terpaksa merisikokan nyawa mereka menghadapi kerosakan lif sehingga setahun atau dua tahun lagi.

“Saya simpati dengan nasib penghuni PPR yang masih menagih janji kerajaan untuk usaha membaik pulih infrastruktur PPR dan PA.

“Ada tempat yang lif terhempas dan menyebabkan kecederaan, ada yang lif tersangkut dan mangsa terperangkap, juga ada tempat satu lif sahaja berfungsi menyebabkan penggunaan secara berlebihan dan lebih muatan. Sudahnya turun naik gunakan tangga.

“Sedangkan pada bulan Oktober lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM127 juta bagi menggantikan semua lif lama di PPR dan PA di Kuala Lumpur. Di mana kerjanya?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Serentak itu, beliau mempersoalkan tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menyegerakan kerja-kerja pembaikan berkenaan.

“Kalau kita duduk di situ juga kita akan marah.

“Lif uzur dan tidak diselenggara dengan baik menyebabkan kesukaran pergerakan para penghuni PPR serta bergantung nasib dengan risiko kemalangan nyawa,” katanya.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kerja-kerja penggantian serta menarik taraf 306 unit lif di kawasan PPR dan PA akan dilaksanakan secara berfasa dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

DBKL berkata, kerja-kerja penggantian dan menaik taraf lif dalam lima fasa itu membabitkan kos RM169.6 juta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button