Berita Utama

KKM bakal tubuh Majlis Autisme Nasional

Akan bangunkan strategi bagi individu yang berada dalam spektrum autisme

KUALA LUMPUR, 16 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan Majlis Autisme Nasional dalam masa terdekat sebagai pusat pihak berkepentingan berkenaan autisme.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata penubuhan majlis itu bertujuan membangunkan strategi intervensi bersepadu bagi individu yang berada dalam spektrum autisme.

Beliau berkata KKM akan menyediakan kertas Kabinet mengenai penubuhan majlis itu dan akan membentangkannya kepada Kabinet dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang.

“Majlis ini bukan hanya memperlihatkan sokongan yang kita beri kepada ibu bapa atau individu autisme di peringkat kanak-kanak tetapi juga intervensi sokongan yang kita dapat beri kepada mereka apabila mereka menjadi dewasa dan ingin menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Bengkel Transformasi Strategi dan Memperkasa Penjagaan Autisme di sini.

Menurut Khairy, penubuhan majlis itu akan melibatkan pelbagai kementerian serta pihak berkepentingan dan antara kementerian dicadangkan menyertainya ialah Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata menerusi majlis itu, beliau berharap untuk membangunkan Pendaftaran Klinikal Autisme Kebangsaan sebagai pangkalan data kes autisme di negara ini.

Mengenai bengkel berkenaan, Khairy berkata perkara yang dibangkitan termasuk perlindungan insurans kepada individu autisme akan diteliti oleh Majlis Autisme Nasional itu kelak dan Bank Negara sebagai badan kawal selia industri insurans di negara ini boleh jemput untuk memberi pandangan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button