Pendapat

Pengajaran dari tentera bergajah

Mari bersama bersihkan jiwa berjuang memuliakan Islam dan al-Quran

1. KETIKA serangan Abrahah berlaku, Qurasyh lari ke bukit menyelamatkan diri mereka. Menurut Sayyid Qutb, perkara ini menunjukkan bahawa Allah berkehendakkan orang yang memelihara agama Allah itu adalah dari tangan-tangan yang bersih, bukan mereka yang menyekutukan Allah. Allah mengaktifkan sistem pertahanan yg tidak disangka iaitu datangnya burung yang memelihara rumah Allah.

2. Dengan sebab itu Rasulullah mengingatkan kita bahawa mereka yang akan membuka Constantinople adalah sebaik-baik pemerintah dan sebaik-baik tentera. Allah berkehendakkan kepada pejuang yang tulen dalam menegakkan agamaNya.

3. Penggunaan lafaz ‘kayfa’ (bagaimana) dalam ayat pertama surah al-Fil menunjukkan bagaimana Allah ingin kita melihat “bagaimana” peristiwa tersebut berlaku, bukan sekadar “apa” yang berlaku. Kita diajak berfikir akan “bagaimana” tentera bergajah tewas dengan batu-batu kecil yang dibawa oleh burung yang jauh lebih ringan dan kecil dari gajah yang berat.

4. Menurut Ibn Ishaq, Abrahah dikatakan sempat lari dan menyelamatkan diri ke San’a, Yaman. Dagingnya terlerai satu persatu, gugur dihadapan penduduk Yaman. Ianya adalah satu pengajaran bagaimana Allah menghukum penentang agama. Kebiasaannya tentera yang tewas akan menghantar tentera balas apabila mereka kalah perang. Namun kematian Abrahah dihadapan penduduk San’a menggerunkan hati mereka sehingga tiada serangan balas berlaku.

5. Sayyid Qutb menegaskan bahawa Allah mengutuskan seorang Rasul bagi membangunkan Arab itu serta membersihkan mereka dari kekufuran dan syirik. Dengan Islamlah mereka bangkit, dan dengan Islam lah mereka dijulang. Surah ini mengingatkan kita bahawa datuk moyang mereka hanyalah mereka yang lari ke gunung-gunung apabila berhadapan dengan musuh.

6. Maka apalah nilai Arab di sisi Allah tanpa Islam? Apakah nilai kita di sisi Allah tanpa Islam? Apakah reaksi kita ketika Islam dihina, dipersenda dan dipermainkan oleh golongan liberal? Mari bersama bersihkan jiwa kita, berjuang memuliakan Islam dan al-Quran.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button