Berita Utama

Petisyen tutup Crackhouse Comedy sudah kumpul 26,605 tandatangan

Kewujudan tempat sebegini tak wajar dan harus ditutup segera: PEMBELA

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 16 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Petisyen yang mendesak penutupan Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) terus mendapat sambutan.

Perkara ini terbukti apabila petisyen di platform change.org itu berjaya mengumpul 26.605 tandatangan setakat jam 2.30 petang ini.

Petisyen tersebut dilancarkan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) susulan beberapa kes menghina Islam dalam persembahan komedi di kelab terbabit, termasuk video seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian setelah mengaku menghafaz al-Quran.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan sambutan orang ramai terhadap petisyen berkenaan menggambarkan sentimen rakyat terhadap kelab tersebut.

“Ini membuktikan rakyat di negara ini menyedari kewujudan tempat-tempat berkenaan dan adalah tidak wajar dan harus diambil tindakan dengan menutupnya dengan segera.

“Bagi saya, ini merupakan benar-benar suara rakyat, bukan lagi ada sentimen politik dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, net, hari ini.

Tegas Aminuddin, perkara ini perlu dijadikan petunjuk kepada pihak berkuasa untuk memastikan kelab tersebut ditutup sepenuhnya dan bukan lagi sekadar sementara.

Khamis lalu, PEMBELA melancarkan petisyen berkenaan dan mengajak rakyat Malaysia menyokong serta menyebarnya supaya Crackhouse Comedy Club ditutup terus.

Langkah itu sebagai iktibar kepada mana-mana premis hiburan sebegini agar menjaga batas-batas yang berteraskan nilai dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana Islam, Melayu dan Bumiputera adalah asas penting.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button