Berita UtamaDunia

Ribuan etnik Hazara hidup ketakutan tanpa keperluan asas di Afghanistan

Terpaksa larikan diri ke kawasan gunung elak menjadi mangsa Taliban

KABUL, 16 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Ribuan keluarga dari etnik Hazara di Afghanistan kini hidup sebagai pelarian selepas Taliban melakukan kempen ketenteraan di daerah Balkhab, bulan lalu menyebabkan mereka berdepan krisis kemanusiaan tanpa keperluan asas seperti bekalan air, makanan dan tempat perlindungan.

Seorang penduduk tempatan di Balkhab dikenali sebagai Jafar berkata, ketika Taliban memasuki daerah tersebut, mereka melakukan keganasan dengan membakar kedai dan menganiaya penduduk yang tidak bersalah.

Situasi mencemaskan itu menyebabkan Jafar dan keluarganya melarikan diri mencari perlindungan di kawasan pergunungan di kawasan sempadan.

Etnik Hazara meliputi 20 peratus daripada 38 juta penduduk Afghanistan dan menjadikan kumpulan etnik ketiga paling ramai di Balkhab.

Sebelum Taliban mengambil alih pentadbiran pada Ogos tahun lalu, etnik Hazara sudah berdepan dengan keganasan dan bukan sekadar itu sahaja mereka juga didiskriminasi kerajaan.

Namun selepas Taliban menjadi pemerintah, etnik Hazara kekal menjadi mangsa selain kerap diserang kumpulan pengganas IS-K.

Sebelum ini akhbar tempatan, Etilaatroz melaporkan kira-kira 50 orang awam di Balkhab dibunuh pada hujung bulan Jun lalu.

Bagaimanapun, jumlah berkenaan semakin bertambah katanya yang memetik sumber tempatan.

Sementara itu, seorang wanita tempatan memberitahu akhbar Hasht-e-Subh Daily bahawa Taliban menangkap dan mencederakan golongan wanita di daerah berkenaan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Afghanistan dalam kenyataan memaklumkan, terdapat bukti Taliban menganiaya orang awam di Balkhab dengan menyerang mereka sehingga menyebabkan etnik tersebut ketakutan dan melarikan diri ke kawasan pergunungan untuk menyelamatkan diri. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button