Berita Utama

Petisyen tutup Crackhouse Comedy kini raih 30,940 tandatangan

Iktibar kepada premis hiburan agar jaga batas

BANGI, 17 Zulhijjah 1443H, Ahad – Lebih 30,000 orang menandatangani petisyen mendesak penutupan Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang dilancarkan PEMBELA baru-baru ini.

Sehingga jam 6 petang, petisyen di platform change.org itu berjaya mencapai 30,940 tandatangan.

Petisyen itu susulan beberapa kes menghina Islam dalam persembahan komedi di kelab terbabit, termasuk video seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian setelah mengaku menghafaz al-Quran.

Malah, hasil selidik pelbagai pihak, beberapa lagi video persembahan lain turut tersebar termasuk kenyataan-kenyataan media sosial pengasas kelab berkenaan, Rizal Van Geyzel yang banyak membuat lawak mengenai Islam, Melayu serta Bumiputera.

Ini termasuk tangkap layar hantaran seorang wanita muslim bertudung dimalukan ketika disuruh membuka minuman keras oleh seorang pelawak di pentas berkenaan.

“Kita dimaklumkan bahawa DBKL telah mengarahkan penutupan sementara bagi premis ini rentetan kes wanita hina Islam baru-baru ini.

“Namun, kita merasakan penutupan sementara itu adalah tidak setimpal memandangkan pengasas sendiri sudah banyak melampaui batas seolah-olah sebagai sokongan kepada sesiapa sahaja yang ingin berbuat perkara yang sama di atas platformnya itu,” kata PEMBELA.

Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Timbalan Menteri Wilayah memaklumkan bahawa premis itu beroperasi tanpa lesen yang sepatutnya.

Justeru, perkara itu sudah cukup menjadi penguat untuk lesen perniagaan premis terbabit ditarik secara mutlak.

“Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menyokong dan menyebarkan petisyen ini supaya Kelab Crackhouse Comedy ini ditutup terus dan sebagai iktibar kepada mana-mana premis hiburan sebegini agar menjaga batas-batas yang berteraskan nilai-nilai dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Islam, Melayu dan Bumiputera adalah asas penting.

“Tutup terus Crackhouse Comedy TTDI!” kata PEMBELA.

Pautan petisyen: http://bit.ly/TutupCrackhouseComedy

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button