Berita Utama

Kerajaan patut beri sokongan kepada penyelidik cipta ubat antiviral baharu

Kemampuan hasil sendiri ubat dan vaksin antara cabaran masa hadapan

BANGI, 17 Zulhijjah 1443H, Ahad – Selepas lebih dua tahun pandemik COVID-19 melanda negara, sudah sampai masa Malaysia mengorak langkah untuk mencipta ubat antiviral baharu dan tidak bergantung kepada satu atau dua jenis ubat import.

Dalam hal ini, kerajaan patut memberi sokongan kepada penyelidik di pelbagai universiti dan institusi penyelidikan untuk mencari ubat antiviral baharu.

Pakar Kimia Perubatan, Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Bimo Ario Tejo berkata, kemampuan varian Omicron dan subvarian keturunannya untuk menghindar daripada antibodi memberi iktibar kita tidak boleh berhenti mereka cipta dan menghasilkan vaksin baharu.

“Hal ini adalah perkara wajar. Vaksin influenza contohnya, selalu dikemaskini setiap tahun untuk menjaga keberkesanannya terhadap varian baharu.

“Selepas dua tahun pandemik melanda, dunia masih menggunakan vaksin direka mengikut varian asal Wuhan. Hal ini tidak boleh diterima. Usaha pembuatan vaksin baharu lebih berkesan perlu diberi tumpuan.

“Kita juga mesti bersedia hidup bersama COVID-19 dalam jangka masa lama. Kemampuan untuk menghasilkan sendiri ubat dan vaksin adalah modal kukuh untuk mendepani cabaran pada masa hadapan,” katanya menulis di Berita Harian.

Beliau turut mengingatkan bahawa negara mengalami isu bekalan ubat disebabkan gelombang Omicron.

“Kita tidak tahu bila gelombang seterusnya akan tiba. Justeru, kerajaan perlu bersedia dan mengambil langkah untuk memastikan tiada isu bekalan ubat ketika gelombang baharu melanda.

“Paxlovid (nirmatrelvir) satu-satunya ubat antiviral COVID-19 memiliki keberkesanan tinggi mencegah gejala ringan menjadi teruk.

“Bukan Malaysia sahaja, seluruh negara di dunia ingin mendapatkan bekalan Paxlovid. Kekurangan bekalan dijangka berlaku sekiranya varian baharu yang lebih mudah merebak muncul selepas subvarian BA.5,” katanya.

Prof Bimo turut menjelaskan, berbeza dengan pembuatan vaksin, pembuatan ubat membabitkan proses lebih panjang dan bahan sukar didapati.

Oleh itu, jika vaksin hanya diberikan dua atau tiga dos ke setiap individu, Paxlovid perlu diberikan dua kali sehari selama lima hari kepada seorang pesakit.

“Bayangkan jika jangkitan COVID-19 tidak terkawal dan bilangan pesakit melonjak. Kita terpaksa bergantung kepada ubat import yang jumlahnya terhad,” katanya.

Pautan asal artikel;
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2022/07/977079/sudah-tiba-masa-malaysia-cipta-sendiri-ubat-antiviral-baharu

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button