Berita UtamaDunia

Pengamal media berang saluran televisyen Israel beroperasi di Maghribi

Anggap satu lagi langkah normalisasi hubungan dengan negara haram

RABAT, 17 Zulhijjah 1443H, Ahad – Kerajaan Maghribi telah memudahkan pembukaan saluran televisyen yang berpangkalan di negara haram Israel, kata sumber kepada Middle East Eye, namun wartawan tempatan tidak berpuas hati dengan tindakan itu.

Apabila i24News membuka dua pejabatnya di Rabat dan Casablanca, ia menjadi syarikat media Israel pertama yang beroperasi di Maghribi.

Tindakan itu telah mencetuskan kemarahan yang meluas di kalangan pengamal media Maghribi yang melihatnya sebagai satu lagi langkah ke arah normalisasi hubungan antara Israel dan Maghribi. 

Tindakan itu dianggap webahagian daripada usaha yang lebih meluas untuk pemulihan antara Israel dan negara-negara Arab sejak 2020.

Bagi kedua-dua pemilik dan pengarah saluran itu, mereka menyatakan bahawa langkah itu lebih kepada ‘pertemuan semula’ berbanding tanda ‘normalisasi’ antara Israel dan Maghribi.

Bapa kepada Franck Melloul, Ketua Pegawai Eksekutif Perancis i24News berada di Maghribi, manakala pemilik saluran itu, Patrick Drahi, dilahirkan di Casablanca sebelum berpindah ke Perancis pada usia 15 tahun.

Pada 30 Mei, Patrick menyertai kira-kira 500 wartawan, artis, diplomat dan ahli perniagaan dari Israel dan Maghribi pada malam gala di Rabat untuk melancarkan saluran itu.

Acara itu diadakan di tapak arkeologi Chellah, salah satu tempat paling ikonik di ibu negara Maghribi. 

Ia menghimpunkan tokoh masyarakat dari kedua-dua negara, termasuk penasihat diraja Andre Azoulay, Menteri Kebudayaan Mehdi Bensaid, dan Menteri Habitat Fatima Zahra Mansouri.

Menurut dua sumber Maghribi yang bercakap dengan Middle East Eye dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, pembukaan i24 disokong kuat oleh Menteri Kebudayaan Maghribi, yang turut membantu saluran itu menyewa tapak Chellah untuk meraikan pelancarannya.

Saluran itu mula-mula disiarkan secara langsung pada 17 Julai 2013 dari ibu pejabatnya di bandar pelabuhan Israel Jaffa.  

Ia menyediakan liputan berita 24 jam dalam bahasa Perancis, Inggeris dan Arab. Ia mempunyai pejabat di Perancis, AS dan baru-baru ini di Emiriah Arab Bersatu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button