Berita Utama

Rafizi gesa seluruh ahli parti buat laporan polis terhadap Najib

Bekas PM didakwa kelirukan rakyat Malaysia di media sosial

SHAH ALAM, 17 Zulhijjah 1443H, Ahad – Sejurus selepas dilantik secara rasmi sebagai Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyeru ahli parti di seluruh negara membuat laporan polis pada Selasa ini (19 Julai) terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, laporan itu perlu dibuat kerana bekas Perdana Menteri itu didakwa mengelirukan rakyat Malaysia di media sosial.

“Selasa ini, saya panggil semua pemimpin, mari kita buat laporan polis beramai-ramai terhadap Najib di seluruh negara,” kata Rafizi semasa ucapan penggulungan di kongres nasional PKR, hari ini.

Rafizi juga mendakwa Ahli Parlimen Pekan itu memainkan isu perkauman dan menegaskan setiap ‘propaganda’ Najib akan diperangi tanpa henti oleh PKR.

Sementara itu, Rafizi juga berkata, sudah tiba masanya pemimpin PKR di seluruh negara memulakan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

“Kami tidak mempunyai banyak masa jika pilihan raya nasional diadakan empat bulan dari sekarang. Ia adalah masa yang singkat,” kata Rafizi.

Rafizi berkata beliau akan memulakan kempen di kerusi Parlimen strategik mulai minggu pertama Ogos.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button