Penunjuk perasaan di Sudan kecam keganasan di Blue Nile
Kerajaan pimpinan tentera isytihar perintah berkurung di 2 bandar

KHARTOUM, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata ketika penunjuk perasaan berarak di ibu negara Khartoum pada Ahad, menentang kepimpinan tentera negara itu, dengan menganggapnya bertanggungjawab terhadap tercetusnya keganasan di negeri Blue Nile.
Penunjuk perasaan di ibu negara membawa papan tanda bertulis ‘Hentikan Perang Saudara’, ‘Blue Nile Berdarah’ dan ‘Batalkan Perjanjian Keamanan Juba’, ketika mereka berarak menuju ke Istana Presiden.
Menurut pegawai Sudan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 30 orang terbunuh dan 100 cedera dalam pertempuran yang bermula minggu lalu antara puak Hausa dan Fung.
Pihak berkuasa berkata, mereka akan mengukuhkan kehadiran keselamatan di negeri itu dan menyiasat pertempuran berkenaan.
Selain itu, perintah berkurung juga telah diisytiharkan di dua bandar.
Terdapat penularan keganasan sporadis di beberapa bahagian Sudan termasuk kawasan pantai timur dan barat Darfur, walaupun perjanjian damai di seluruh negara ditandatangani oleh beberapa kumpulan pemberontak di Juba pada 2020.
Pergerakan antitentera – yang telah menjalankan kempen protes sejak rampasan kuasa pada Oktober 2021 – mendakwa tentera mencetuskan konflik dalaman dan gagal melindungi orang awam.
“Kesinambungan rampasan kuasa bermakna lebih banyak kematian seperti yang kita lihat di Blue Nile, Darfur dan tempat-tempat lain,” kata seorang penunjuk perasaan, Mohamed Idris di Khartoum.
Pemimpin tentera berkata, pengambilalihan adalah perlu bagi mengekalkan kestabilan Sudan di tengah-tengah pertelingkahan politik dan mereka sedang berusaha untuk membina perjanjian damai di Darfur serta wilayah lain. – Agensi