Berita UtamaIstimewa

PEMBELA saran hukuman hina Islam dipertingkat ke tahap maksimum

Penguatkuasaan perlu seiring dengan kadar efisyen, kepantasan tinggi

BANGI, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyarankan, hukuman menghina agama terutamanya Islam yang merupakan agama Persekutuan dan masyarakat majoriti dipertingkatkan ke tahap maksimum.

Saranan itu disuarakan Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya susulan tindakan biadab individu yang mempersendakan Islam secara terbuka tanpa mengambil kira sensitiviti.

Beliau mengingatkan bahawa tindakan itu bermakna mencabar seluruh masyarakat yang beragama Islam secara terbuka.

“Semalam telah tular video seorang lelaki yang menghina dan mempersenda Islam dengan kata-kata yang sangat biadab dan jelek.

“Malah, kita dapat lihat yang video itu dibuat khas dalam bentuk mencabar-cabar agar siapa yang melihat video itu supaya mencarinya. Senang kata, video itu memang provokasi ‘direct’.

“Akhirnya, ada beberapa individu yang datang ke rumahnya dan membelasah sehingga ‘lunyai’ teruk sebelum sempat polis menahannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa susah untuk mengawal tindak-tanduk dan rasional setiap orang apabila dicabar seluruh anggota sesebuah masyarakat.

“Pasti akan ada hilang pertimbangan dan akhirnya ‘sahut’ cabaran tersebut. Apatah lagi memang ‘cabaran’ itu dinyatakan secara jelas oleh penghina agama itu.

“Kalau dah hilang pertimbangan, pasti akan bertindak di luar jangkaan. Itu kita kena ingat,” katanya.

Pada perkembangan sama, Haji Aminuddin menggesa penguatkuasaan berhubung isu itu seiring dengan kadar efisyen dan kepantasan yang tinggi.

Ini kerana beliau bimbang perkara-perkara yang tak dapat dikawal dan tidak diingini sebegini akan berlaku lagi pada masa hadapan.

Lebih teruk lagi boleh sampai tahap huru-hara walaupun sesama seagama dan sebangsa.

“Sebab itulah, jangan sesekali pun terdetik dalam hati untuk hina dan persenda Islam.

“Semoga peristiwa ini menjadi iktibar kepada semua, terutamanya yang bencikan Islam,” katanya.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/07/17/lelaki-hina-nabi-cabar-ngo-bunuh-dirinya-ditahan-polis/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button