Berita Utama

PEMBELA syor sistem Syariah diperkasa elak kes hina Islam berulang

Kerajaan disaran lihat NGO sebagai rakan kongsi bukan pesaing

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin — Mencegah lebih baik daripada merawat!

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengesyorkan sistem Syariah dipertingkat dan dikuatkuasakan.

Langkah itu wajar bagi memastikan kes penghinaan ke atas agama Islam tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, sekiranya sistem Syariah itu tidak diangkat maka sukar untuk diperjelaskan mengenai tindakan seseorang.

“Sebelum sesuatu pelesenan diberi, sesiapa sahaja perlu jelas tatacara dan etika yang harus mereka patuhi.

“Bagi saya ini sangat penting. Kita tak boleh tentukan sekiranya perundangan, sistem Syariah itu sendiri tidak diangkat. Jadi kita nak beritahu sebab apa? Sebab itu kita memperjuangkan sistem ini harus diangkat dan diperkasakan. Baik 355 (RUU355) atau pun perundangan itu sendiri.

“Kena sedarkan kepada rakyat dan semua pengusaha bagaimana perlunya ‘observe’ terhadap kehendak Islam,” katanya dalam sidang media PEMBELA di Pejabat Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan berunsur realiti yang ada mempamerkan unsur perlekehkan Islam.

Dalam pada itu, Pengerusi PEMBELA itu berkata, pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) terhadap isu ini sangat kritikal.

Justeru, beliau meminta kerajaan tidak melihat peranan NGO sebagai pesaing tetapi penyokong.

“Ini antara cadangan kita kepada pihak kerajaan supaya menjadikan NGO ini sebagai satu rakan kongsi bukan sebagai ‘competitor’ atau tidak dilayan sebagainya.

“Kita bukan minta bayaran cuma nak membantu kerajaan memperkasakan syariat dan perundangan dalam negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button