Berita Utama

Bina platform khas untuk anak muda minat motor: BERJASA

Aktiviti lumba haram hanya bahaya nyawa sendiri, pengguna lain

BANGI, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Parti BERJASA mencadangkan supaya satu platform khas dibina untuk golongan muda yang meminati dunia permotoran supaya lebih banyak potensi besar dapat digilap kelak.

Cadangan itu disuarakan Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan susulan kejadian kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Georgetown, Pulau Pinang baru-baru ini.

Beliau berkata, sebelum ini sudah banyak cadangan untuk membuka ruang litar permotoran yang lebih meluas untuk anak muda, namun malangnya kementerian terlibat hanya bersikap acuh tidak acuh terhadap solusi itu.

“Saya kembali menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YB Faizal Azumu untuk bertanggungjawab terhadap isu ini dengan memberi ruang yang lebih besar buat anak muda untuk beraksi di litar sebenar.

“Kita mempunyai ramai pelumba motosikal negara yang sangat berpotensi tinggi untuk pergi lebih jauh seperti Hafizh Syahrin, Adam Norrodin, Khairul Idham Pawi, Zulfahmi Khairuddin dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, banyak inisiatif yang boleh dibangunkan menerusi solusi itu seperti projek pelapisan pelumba atau kru serta program perlumbaan mingguan di litar.

Terdahulu, empat maut manakala tiga lagi cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan termasuk kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown awal pagi semalam.

Tiga daripada mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Polis tidak menolak kemungkinan kemalangan itu mempunyai kaitan dengan aktiviti lumba haram.

Mengulas mengenai kejadian itu, Fahmi turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan terbabit dan meminta individu lain yang terlibat dalam kegiatan berkenaan untuk mengambil pengajaran.

“Aktiviti lumba haram hanyalah membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain. 

“Saya juga ingin menjemput ‘ikon permotoran’ Haqiem Stopa yang diangkat oleh YB Wan Ahmad Fayhsal untuk berbincang dengan saya permasalahan sebenar aktiviti ini.

“Saya sedia berganding bahu demi pembangunan anak muda Malaysia ke arah yang lebih terjamin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button