Isu hina agama: Tidak boleh biarkan jadi agenda normalisasi
Kerajaan takkan berkompromi, umat Islam perlu berdiri teguh: Idris

BANGI, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan perbuatan menghina kesucian agama Islam, al-Quran, Rasulullah SAW dan sebagainya.
Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad menegaskan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah diarah mengambil langkah tegas membuka kertas siasatan untuk tujuan dibawa ke Mahkamah Syariah.
“Membanteras perbuatan itu adalah tanggungjawab bersama oleh seluruh masyarakat demi amanah menjaga agama Islam.
“Umpamanya seperti sudah menjadi kes mahkamah baru-baru ini, berlaku persembahan komedi di sebuah premis di Kuala Lumpur, yang mana berlaku perbuatan yang amat tidak senonoh dan menghina kesucian agama Islam.
“Sudah tentu perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku khususnya melibatkan penghinaan kepada agama Islam. Kita tidak boleh sekali-kali membiarkan perkara ini dijadikan agenda normalisasi oleh sesetengah pihak,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.
Beliau menjelaskan isu berkenaan memperlihatkan umat Islam khususnya berdiri teguh di belakang agensi kerajaan dan menunjukkan kehendak masyarakat mahu tindakan tegas diambil kepada pihak berkaitan.
Katanya, keseriusan agensi penguat kuasa melaksanakan fungsinya akan menjadi lebih efektif apabila sepakat memperkukuhkan jaringan kerjasama sesama masyarakat.
“Maksud saya dalam konteks kita, JAWI dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) perlu terus bekerjasama erat bersama agensi seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi.
“Ekosistem penguatkuasaan agama haruslah diperhebat dengan kekuatan infrastruktur, perundangan, kemahiran dan sistem jaringan dengan agensi penguat kuasa yang lain.
“Ini kerana tugas pencegahan mencakupi ruang lingkup yang luas termasuk menghapus niat dan peluang jenayah, mendidik masyarakat mengenai ancaman jenayah dalam komuniti serta menjadi tempat rujukan kepada masyarakat untuk menyalurkan aduan dan mendapatkan nasihat,” kata beliau.
Idris bagaimanapun menjelaskan, usaha ke arah menguatkuasakan undang-undang, penguat kuasa agama turut berdepan dengan pelbagai cabaran yang ada kalanya mengancam nyawa.
Namun beliau yakin kebolehan dan semangat juang Bahagian Penguatkuasaan di semua JAIN mampu melaksanakan tugas sebaik mungkin.