Keadaan 2 tahanan Palestin mogok lapar kini kritikal
Aktivis dakwa Israel ‘sedang mempraktikkan pembunuhan perlahan’ terhadap tahanan

RAMLA, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Keadaan kesihatan dua tahanan Palestin di penjara negara haram Israel kritikal, selepas mogok lapar selama berminggu-minggu sebagai protes terhadap penahanan pentadbiran rejim Tel Aviv.
Ra’ed Rayyan, 27, berasal dari kampung Bayt Duqu berhampiran Baitulmaqdis yang diduduki, telah melancarkan mogok lapar selama 102 hari, lapor agensi berita rasmi Palestin, Wafa.
Rayyan kini ditahan di sebuah klinik di Penjara Ramla yang terkenal, dikatakan mengalami komplikasi kesihatan serius.
Seorang lagi tahanan, Khalil Awawdeh, 40, dari sebuah bandar di sekitar bandar al-Khalil (Hebron) yang diduduki Tebing Barat, telah melancarkan mogok lapar selama lebih dua minggu.
Bulan lalu, Awawdeh berbuka puasa pada hari ke-111 selepas diberi jaminan oleh Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) bahawa penahanan pentadbirannya tidak akan diperbaharui.
Tetapi, dia meneruskan mogok lapar seminggu kemudian selepas pihak berkuasa negara pengganas Israel mengingkari janji mereka.
Dia dilaporkan mengalami sakit kepala, keletihan, penglihatan kabur, sakit sendi, degupan jantung tidak teratur, kerap muntah dan penurunan berat badan yang ketara.
Awawdeh, bapa kepada empat anak kini ditahan di hospital Israel Assaf Harofeh.
Israel telah diberi amaran tentang keadaan kesihatan yang semakin teruk kedua-dua tahanan itu kerana berdepan ancaman yang akan berlaku kepada nyawa mereka.
Aktivis Palestin berkata Israel ‘sedang mempraktikkan pembunuhan perlahan’ terhadap tahanan melalui ‘kecuaian perubatan.’
Terdapat beribu-ribu rakyat Palestin ditahan di penjara Israel.
Pertubuhan hak asasi manusia berkata, Israel melanggar semua hak dan kebebasan yang diberikan kepada tahanan oleh Konvensyen Geneva.
Tahanan Palestin secara berterusan melakukan mogok lapar secara terbuka dalam usaha untuk menyatakan kemarahan terhadap penahanan.
Pihak berkuasa penjara Israel mengekalkan tahanan Palestin dalam keadaan menyedihkan tanpa standard kebersihan yang betul.
Tahanan Palestin juga telah dikenakan penyeksaan, gangguan dan penindasan sistematik. – Agensi