Berita Utama

Kes baharu COVID-19 naik 23.4 peratus pada 10 hingga 16 Julai: KP Kesihatan

Bilangan kes kematian menunjukkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus

KUALA LUMPUR, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Bilangan kes baharu COVID-19 pada Minggu Epidemiologi ke-28 (ME 28/2022) dari 10 hingga 16 Julai meningkat sebanyak 23.4 peratus berbanding ME 27/2022 iaitu 26,355 kes daripada 21,355 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes tempatan COVID-19 pada ME ke-28 meningkat sebanyak 23.4 peratus menjadi 26,317 kes daripada 21,325 kes pada minggu sebelumnya manakala kes import meningkat sebanyak 26.6 peratus daripada 30 kes pada minggu sebelumnya kepada 38 kes.

“Bilangan kes sembuh pada ME 28/2022 meningkat sebanyak 16.8 peratus kepada 19,138 kes daripada 16,379 kes pada ME 27/2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, bilangan kes kematian pada ME 28/2022 menunjukkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus (38 kes kepada 39 kes) berbanding ME 27/2022 sementara purata kes aktif setiap hari bagi ME 28/2022 adalah 38,110 iaitu peningkatan sebanyak 18.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, dari 25 Jan 2020 (ME 4/2020) hingga 16 Julai 2022 (ME 28/2022), kumulatif kes baharu COVID-19 di seluruh negara adalah 4,619,045 sementara kumulatif kes sembuh sebanyak 4,540,717 dan kumulatif kes kematian 35,848 manakala kumulatif kluster adalah 7,026 dengan 12 kluster aktif.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan seperti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak sembilan peratus pada ME 28/2022 berbanding ME 27/2022.

Katanya, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 33 peratus, dengan pesakit kategori satu dan dua meningkat 33 peratus manakala pesakit kategori tiga, empat dan lima turut mencatatkan peningkatan sama.

Menurut Dr Noor Hisham, peratusan pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 28/2022 bagi katil bukan kritikal meningkat sebanyak dua peratus; katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak tiga peratus; dan tiada perubahan pada katil PKRC.

Beliau berkata kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan peningkatan berdasarkan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 27/2022 dan ME 28/2022.

“Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 23.1 peratus, bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 41.3 peratus dan bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital meningkat sebanyak 18.2 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya) pada akhir ME 28/2022 meningkat 33.8 peratus berbanding pada akhir ME 27/2022 iaitu daripada 53,306 kes kepada 71,326 kes.

Mengenai survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) COVID-19, beliau berkata sehingga ME 28/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati kadar positif sampel ILI bagi COVID-19 pada ME 28/2022 meningkat sebanyak 8.5 peratus daripada 10.6 peratus pada ME 27/2022 kepada 11.5 peratus pada ME 28/2022 dan kadar positif sampel SARI bagi COVID-19 kekal sifar peratus pada ME 28/2022. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button