Berita Utama

Lagi kes hina agama, polis Kelantan tahan seorang lelaki di Machang

Suspek muat naik video hina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW

BANGI, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Polis Kelantan menahan seorang lelaki yang didakwa mempersenda dan menghina agama Islam serta Nabi Muhammad SAW menerusi hantaran video di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek kini ditahan selepas serbuan dibuat kira-kira 11.30 pagi di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong di Machang.

“Serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan pada 9.15 pagi tadi berhubung seorang individu yang menghina agama Islam melalui satu klip video.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku memuat naik video yang menyebut perkataan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, “ katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu tular satu video berdurasi 4 minit 13 saat itu, memaparkan seorang lelaki meludah sambil menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW dengan kata-kata yang kesat.

Dalam pada itu, dia juga mencabar, dan turut menjemput mana-mana orang untuk berjumpa dengannya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati positif dadah jenis Methaphetamine.

Katanya kes akan disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button