Berita Utama

Lelaki hina Islam direman 4 hari

Telefon bimbit suspek rakam video tular dirampas

BANGI, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin — Seorang lelaki yang ditahan kerana menghina agama Islam, semalam direman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 39 tahun itu direman hingga Khamis ini di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Semalam, suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah rumah di Bukit Kuchai, Puchong, Selangor.

Siasatan dan tangkapan dibuat bersabit satu video berdurasi 36 saat yang tular di media sosial, memaparkan seorang lelaki menghina umat dan agama Islam serta Nabi Muhammad ﷺ.

Polis turut merampas satu telefon bimbit yang digunakan oleh suspek bagi merakam video itu untuk siasatan.

Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan diklasifikasi di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Back to top button