Berita Utama

MAHA 2020 Platform hapuskan ‘orang tengah’ dalam pertanian

Sasar  1.1 juta pengunjung hadir secara fizikal sepanjang 11 hari berlangsung di MAEPS

BANGI, 18 Zulhijjah 1443H, IsninPenganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 pada Ogos ini antara lain menjadi platform menghapuskan peranan orang tengah dalam sektor pertanian dan rantaian bekalan makanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, melalui rantaian perniagaan dalam MAHA 2022, perniagaan secara langsung antara pengeluar dengan pengguna akan berlaku sekali gus berpotensi mengelakkan peranan orang tengah.

“Dengan MAHA, kita seboleh-bolehnya mahu menghapuskan golongan ketiga (orang tengah) yang cuba mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan dalam keadaan tidak sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas pra-pelancaran Laman Agro-Food Florikultur sempena MAHA 2022, hari ini.

Pada 18 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan menggesa agar budaya orang tengah dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan dihapuskan bagi mengawal kos sara hidup yang meningkat antara lain akibat kenaikan kadar inflasi.

MAHA 2022 akan diadakan secara hibrid pada 4 hingga 14 Ogos di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dengan bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’. Disasarkan 1.1 juta pengunjung hadir secara fizikal sepanjang 11 hari program itu serta menjana lebih RM250 juta potensi nilai jualan.  

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Zahimi Hassan berkata antara tarikan Laman Agro-Food Florikultur adalah ‘Miracle Garden’ yang akan menonjolkan keindahan landskap kombinasi pelbagai jenis bunga bersama tanaman ‘edible’ atau boleh dimakan dengan aspek pertanian pintar.

Menurutnya, kepelbagaian konsep taman yang akan diterapkan di laman itu antaranya ‘Rainbow Garden’, ‘Teratai Garden’, ‘Tropical Garden’ dan ‘Urban Garden’. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button